IPOH: Seramai 3,000 penggiat industri dalam sektor pelancongan di negeri ini sudah menerima vaksinasi melalui program vaksinasi pemain industri yang dilaksanakan dalam usaha mencapai imuniti kelompok.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, pelaksanaan program tersebut dapat membantu penggiat industri membina semula semangat dalam memajukan sektor pelancongan apabila perniagaan mereka dibuka semula.
Ia sekali gus dapat melindungi pekerja industri dan pelanggan daripada risiko jangkitan wabak COVID-19.
Ujarnya lagi, berdasarkan data yang dikemaskini Tourism Perak melalui persatuan pelancongan, lebih 5,000 penggiat industri pelancongan yang terdiri daripada kakitangan hotel, agensi pelancongan dan pengembaraan, pemandu pelancong, pengusaha spa, pemandu kenderaan pelancongan, pengusaha produk pelancongan, pengusaha rumah inap dan lain-lain yang berkaitan.
“Manakala selebihnya 2,000 orang pula akan diserapkan ke dalam program ‘outreach’ Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada bagi membantu mempercepatkan proses vaksinasi mereka.
“Kerajaan negeri memandang serius akan kepentingan pemberian vaksinasi yang merupakan imunisasi Covid-19 kepada semua rakyat negeri Perak tidak terkecuali penggiat industri pelancongan sebagai usaha untuk mencapai imuniti kelompok,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Dewan Negeri Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.
Nolee Ashilin berkata, pada program vaksinasi ini akan mengembalikan keyakinan pengunjung terhadap sektor pelancongan khususnya di negeri Perak.
“Inisiatif ini juga digabungkan dengan penjaja atau peniaga kecil yang berdaftar di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kerajaan Tempatan menyelaras data golongan peniaga kecil dan penjaja berjumlah 39,454 yang berlesen dengan PBT dan diserahkan kepada Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan sejak Jun lalu bagi tujuan mempercepatkan vaksinasi.
“Sesetengah PBT juga sedah mengetengahkan ‘linelisting’ ini kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) daerah masing-masing untuk PPV Daerah dan usaha ini akan diteruskan di bawah program MOVAC bermula pada 4 dan 5 September ini,”katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri merancang untuk merangsang semula sektor ini melalui insiatif yang relevan dan bersesuaian dengan melaksanakan pendekatan gelembung pelancongan di kawasan pelancongan berpotensi tinggi dengan keutamaan pada pelancongan domestik.
“Mengikut Laporan pelancongan Jabatan Perangkaan Negara, Negeri Perak menerima kedatangan pelawat domestik kedua tertinggi pada tahun lalu iaitu 13.17 juta pelawat (selepas Selangor) dan pelawat bermalam sekitar 4.9 juta orang (selepas Pahang) yang menjana sebanyak RM3.8 billion dari segi ‘tourist spending’ di dalam negeri,”katanya.
Ujarnya lagi statistik itu menunjukkan Perak masih lagi menjadi pilihan pelancong domestik walaupun berdepan dengan situasi sukar bersandarkan kepada kepelbagaian produk pelancongan yang boleh diterokai.
“Kita mesti mengambil peluang melalui kekuatan negeri sebagai destinasi pelancongan domestik pilihan utama negara untuk memulih dan menjana ekonomi rakyat Perak yang terbabit dalam sektor perkhidmatan ini sebelum sempadan dibuka.
“Negeri Perak kini berada di Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara yang membolehkan sektor pelancongan beroperasi walaupun tidak sepenuhnya.
“Kerajaan negeri akan mengambil beberapa insiatif strategik dalam masa terdekat dan pada waktu yang sama mengadakan kerjasama erat dengan pemain industri,”katanya.
SUMBER: SUARA PERAK