KUALA LUMPUR | Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Sakaran Dandai yang meninggal dunia hari ini.
Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada masyarakat dan negara.
“Seri Paduka Baginda berdua turut menyifatkan permergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara.
“Allahyarham yang berasal dari Semporna, pernah berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-8 dari tahun 1995 hingga 2002,” kata kenyataan Istana Negara menerusi laman Facebook rasminya hari ini.
Allahyarham juga sebelum itu pernah menjadi Ketua Menteri Sabah ke-8 pada tahun 1994.
Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.