IPOH | Kerajaan negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak mengambil beberapa pendekatan bagi menampung kekurangan keperluan daging di negeri ini, yang masih belum mencukupi.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan,Razman Zakaria berkata kadar pengeluaran daging dalam negeri setakat ini ialah di bawah 10 peratus.
Justeru menurutnya, antara langkah yang diambil bagi mengatasi masalah tersebut ialah membangun serta memulihkan semua tanah padang ragut yang terdapat di negeri Perak, melalui tanaman makanan ternakan ruminan.
“Ia seperti rumput ragutan, rumput Napier dan jagung manis, memberi latihan secara intensif kepada para penternak, Ladang Infoternak Sungai siput Utara dijadikan pusat latihan teknologi dan informasi maklumat ternakan.
“Membekalkan baka berkualiti tinggi kepada penternak di dalam negeri Perak dengan mengimport baka terpilih dari luar negara.
“Serta mengadakan bimbingan kepada penternak tradisional supaya menggunakan teknologi terkini khasnya dalam teknologi pemakanan haiwan dan pengurusan yang bersistematik,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohd Tarmizi Idris (BN-Kenering) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Isnin.
Katanya lagi, kerajaan negeri juga sentiasa memantau hasil ternakan dalam keadaan baik dan sihat, bebas daripada sebarang penyakit dan wabak.
Sementara itu, Razman menjelaskan terdapat 85 buah padang ragut di seluruh negeri Perak dengan keluasan 11,982 ekar.
“Sehingga kini, padang ragut yang dimajukan adalah seluas 8,499 ekar.
“Baki kawasan yang masih belum dimajukan adalah seluas 2,037 ekar.
Ujarnya, terdapat 1,449 ekar yang tidak berpotensi untuk dimajukan kerana berbukit, bercerun, berpaya dan berbatu.
SUMBER: SUARA PERAK