KUALA LUMPUR | Seusainya istiadat mengangkat sumpah jawatan dan setia barisan jemaah menteri hari ini, sudah pastinya tanggungjawab besar digalas untuk mengemudi negara dalam suhu pandemik COVID-19 semakin membahang ini.
Bertepatan dengan itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menitipkan harapan dan mendoakan agar seluruh barisan Jemaah Menteri sentiasa diberikan hidayah dan inayah ALLAH SWT untuk menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan berintegriti demi kepentingan rakyat serta negara.
Menurutnya, sesungguhnya pelantikan tersebut adalah suatu amanah berat yang mesti dipikul dengan penuh jujur, ikhlas dan berintegriti selaras dengan prinsip Rukun Negara dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sebagai badan yang menjalankan fungsi Eksekutif Persekutuan, Jemaah Menteri adalah badan tertinggi yang memutuskan dasar-dasar kerajaan untuk dilaksanakan di setiap peringkat kerajaan.
“Maka, fungsi ini mestilah dilaksanakan dengan penuh wibawa demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hari ini seramai 31 menteri dan 38 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut berharap Jemaah Menteri yang baru dilantik akan memberikan tumpuan segera kepada usaha-usaha untuk memulihkan negara daripada wabak COVID-19, menyalurkan bantuan kepada golongan rakyat yang memerlukan dan memacu pertumbuhan ekonomi.
Katanya, program vaksinasi yang telah menunjukkan pencapaian menggalakkan dengan lebih 62 peratus populasi dewasa setakat ini telah menerima dua dos suntikan lengkap vaksin mesti dipastikan terus berjalan lancar dan mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Begitu juga dengan pembukaan sektor-sektor ekonomi mengikut fasa-fasa dalam Pelan Pemulihan Negara mesti dilaksanakan dengan teratur tanpa menjejaskan sasaran pemulihan negara daripada wabak COVID-19.
“Program-program bantuan prihatin rakyat juga mesti diteruskan untuk membantu golongan yang memerlukan dalam fasa pemulihan negara,” katanya.
Selain itu, Muhyiddin turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada barisan Jemaah Menteri yang telah mengangkat sumpah jawatan dan setia.
“Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri, atas pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri dari parti-parti komponen Perikatan Nasional,” katanya.