KOTA BHARU | Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, terhadap dakwaan dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas seorang lelaki, awal bulan lalu.
Mereka yang juga pengamal perubatan tradisional, Mohd Shamsul Izwan Midin, 33, Idrees Ishak, 42, Muhammad Firdaus Mohd Adnan, 33, dan Mohd Eric Mohd Ramli, 35, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani.
Mengikut kertas pertuduhan, empat lelaki itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Ahmad Shahrill ‘Ariff Zainol, 39, di sebuah inap desa Al Quds Jalan Taqwa, Kampung Huda di sini, jam 4 petang, pada 5 Ogos 2021.
Bagi kesalahan berkenaan, mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahril Ramli.
Keempat-empat OKS diwakili peguam bela, Mohd Azrul Hasyimi Mohammad yang memohon jaminan minimum.
Mahkamah membenarkan mereka diberi jaminan RM3,000 setiap seorang, masing-masing dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.