KANGAR: Pemimpin yang dilantik sebagai anggota jemaah kabinet dinasihat agar tidak berbangga dengan jawatan kerana ia bukan satu kemuliaan, sebaliknya ia merupakan amanah yang wajib ditunaikan.
Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin berkata, pemimpin tidak lebih sebagai khadam kepada rakyat yang dipimpin.
Advertisement
“Kalau kita bersikap seperti khadam kepada rakyat, maka itulah panduan yang diberikan oleh agama kepada kita dan insya-Allah ia mesti dilakukan demi mendapat keredaan daripada Allah,” katanya ketika ditemui di sini.
Pada Jumaat lepas Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan barisan anggota kabinet yang merangkumi seramai 31 menteri dan 38 timbalan menteri.
Petang ini mereka akan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Lapan daripada jemaah kabinet tersebut merupakan Ahli Parlimen PAS, yang mana tiga orang daripada mereka masing-masing memegang jawatan menteri dan lima timbalan menteri.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man kekal Menteri Alam Sekitar dan Air; Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan (Menteri Tenaga dan Sumber Asli).
Sementara barisan timbalan menteri terdiri daripada Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh sebagai Timbalan Menteri II Pertanian dan Industri Makanan dan Dato’ Ahmad Marzuk Shaary (Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama).
Selain itu, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff kekal sebagaiTimbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Dato’ Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Dato’ Awang Hashim (Timbalan Menteri Sumber Manusia).
Sehubungan itu, Ustaz Hashim merakamkan ucapan tahniah kepada barisan kepimpinan PAS yang dilantik menganggotai kabinet baharu.
Menurutnya, bagi pemimpin yang tidak dilantik sebagai anggota kabinet tidak perlu kecewa kerana umat Islam sentiasa dianjurkan untuk ikhlas dalam segala perbuatan hanya kerana Allah.
“Kepada pemimpin yang tidak dilantik ataupun digugurkan, ingatlah contoh akhlak yang ditunjukkan Khalid al-Walid yang dipecat oleh Saiyidina Umar Al-Khattab r.a. ketika dia sedang berjuang di medan perang.
“(Sebaliknya) Dia (Khalid) berkata, ‘aku berjuang kerana Allah, bukan kerana Saiyidina Umar dan bukan kerana manusia’.
“Maka, roh dan semangat inilah yang perlu kita semai dan kita ikut moga-moga kita diberi hidayah yang lebih mendalam daripada Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/8/2021