KOTA BHARU | Kerajaan negeri Kelantan meneruskan usaha yang dirintis Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan memberi tempat kepada wakil muslimat di Dewan Negara.
Usaha itu dipertahankan sehingga sekarang, di mana minggu lepas aktivis Badan Bukan Kerajaan (NGO) Dr Wan Martina Wan Yusof pula dilantik sebagai Senator.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, kerajaan Kelantan memberi peluang kepada golongan wanita berperanan sehingga ke peringkat Dewan Negara.
“Pelantikan Dr Wan Martina disokong semua pihak kerana penglibatannnya
sebagai aktivis NGO dan seorang profesional. Beliau banyak menyumbang jasa kepada pembangunan masyarakat.
“Peranannya sebagai aktivis masyarakat membuatkan beliau lebih dekat di hati rakyat,” katanya ketika ditemui di Outreach Vaksinasi di Sekolah Kebangsaan Padang Mandol, dekat sini hari ini.
Hadir sama Adun Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah dan Pengarah Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Ilvira Mohd Dasuki.
Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan minggu lepas, Dr Wan Martina dilantik sebagai Senator selepas disokong sebulat suara ahli dewan.
Pelantikan itu bagi menggantikan Asmak Hussin yang tamat tempoh perkhidmatan. Seorang lagi senator yang mewakili Kelantan iaitu Mohd Apandi Mohamad, juga seorang profesional.
Mumtaz juga berkata, kerajaan negeri mengiktiraf peranan dan gerak kerja kaum wanita dalam semua perkara.
“Pelantikan itu diperhalusi Jawatankuasa Pemilihan berdasarkan kelayakan calon terutamanya individu yang banyak menabur khidmat kepada masyarakat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY