by Nor Shazleza Shahril
PUTRAJAYA | Sebaik selesai istiadat angkat sumpah di Istana Negara hari ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar terus bergerak ke Putrajaya untuk melapor diri di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di sini.
Kedatangan Ahli Parlimen Rembau itu yang berbaju Melayu hitam lengkap bersamping hitam bersulam benang warna keemasan ke bangunan Kementerian Kesihatan pada 5.15 petang disambut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Turut sama melapor diri pada hari ini ialah Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang.
Selepas mengimbas pas kerja, Khairy yang memegang jawatan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam pentadbiran terdahulu, memasuki pejabatnya di Tingkat 13 dan kemudian menyertai mesyuarat bersama pengurusan kanan KKM.
Khairy bersama 29 menteri dan 37 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.