by Nor Shazleza Shahril
IPOH | Seramai 1,352 guru sekolah rendah dan menengah daripada keseluruhan 37,590 guru di Perak, masih belum menerima suntikan vaksin COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohammed Daud, berkata ia membabitkan guru yang belum berdaftar dan yang sudah berdaftar tetapi mendapat janji temu vaksinasi.
Beliau berkata, daripada keseluruhan 37,590 guru itu, seramai 36,238 guru sudah menerima vaksin masing-masing.
“Bagi kumpulan guru STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia), Vokasional, T5 dan T6 pula, seramai 9,426 daripada 9,684 guru sudah menerima vaksin manakala bakinya iaitu 258 guru masih belum divaksin, atas sebab yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan titah Diraja Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Ahmad Saidi berkata, kerajaan negeri menerusi Jabatan Pendidikan Negeri akan menggandakan usaha memastikan guru menerima vaksin, termasuk menerusi sesi kaunseling, webinar serta bengkel pengurusan dan kepentingan vaksin bagi mencapai tujuan itu.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga akan memastikan setiap pihak berkepentingan sudah divaksin menjelang pembukaan sesi persekolahan pada Oktober nanti.
“Setakat ini, seramai 16,334 individu daripada 19,615 sudah divaksin, membabitkan anggota kumpulan pelaksana, perkhidmatan kawalan keselamatan, kebersihan bangunan dan kawasan, bekalan makanan, operator bas atau van serta pekerja kantin,” katanya.