Oleh Shazleza Shahril
BERA | Seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dikhuatiri lemas ketika melaksanakan latihan melaksanakan latihan di Sungai Pahang, semalam.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, kejadian itu berlaku pada jam 4.40 petang.
Katanya, TDM mengesahkan insiden yang melibatkan seorang anggota daripada 10 Briged (Para) iaitu Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa yang merupakan anggota Tinjau dari pasukan Kompeni PANDURA (Para) yang dipercayai lemas dan hilang ketika menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang bagi Eksesais PARA PREDATOR Siri 1/2021 di Kawasan Am, Bera, Pahang.
Katanya, ketika kejadian, anggota sedang melaksanakan Fasa Latihan Taktikal Menyeberangi Sungai di sekitar kawasan Kampung Batu Bor. Kejadian berlaku pada 29 Ogos 2021 jam 4.40 petang.
“TDM telah menggerakkan anggota operasi dan menyelamat namun tiada penemuan sehingga kini.
“Operasi Mencari dan Menyelamat (Op SAR) bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 2 Pahang telah dilaksanakan di tempat kejadian pada 29 Ogos 21 jam 4.50 petang.
“Op SAR ini turut dibantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang kampung di kawasan di mana mangsa kali terakhir dilihat,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, beliau hadir ke Kampung Batu Bor, Pahang untuk melihat pelaksanaan Op SAR melibatkan seorang anggota TDM yang lemas semasa melaksanakan latihan.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada jam 7 petang semalam kerana keadaan cuaca yang semakin gelap dan Op SAR disambung pada hari ini.
Katanya, sebarang perkembangan tentang kejadian akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“TDM berharap agar masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu misi pencarian ini serta bagi menjaga perasaan waris mangsa yang terlibat.
“Semoga pengoperasian Op SAR ini dipermudahkan dan diharap anggota dapat ditemui dengan kadar yang segera,” katanya.