SINGAPURA | Perdana Menteri, Lee Hsien Loong menegaskan, tiada istilah ‘hak istimewa kaum Cina’ dalam masyarakat berbilang kaum di Singapura.
Beliau menegaskan demikian ketika menyampaikan ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan dalam bahasa Mandarin.
Berita Mediacorp melaporkan, Hsien Loong berkata, semua kaum di negara ini dianggap sama, tanpa mempunyai ‘hak istimewa’ masing-masing.
Perkara itu, jelas beliau, adalah teras utama bagi mewujudkan keharmonian kaum serta dasar-dasar awam negara.
Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa insiden berkaitan perkauman di sini mendapat sorotan umum.
Hsien Loong berkata, adakalanya insiden sedemikian tersebar di media sosial dan boleh menjejas hubungan silang kaum.
Beliau menambah, ramai masyarakat Singapura daripada pelbagai latar belakang menolak tindakan perkauman termasuk masyarakat Cina sendiri.
Lantaran itu, beliau menegaskan, tiada istilah ‘hak istimewa kaum Cina’ di negara ini serta dasar-dasar awamnya.
Malah tambah beliau, masyarakat Cina turut bertolak ansur demi kestabilan dan kemakmuran negara.
Namun begitu, Hsien Loong menggesa segelintir masyarakat Cina supaya lebih peka tentang cabaran dan perasaan kaum-kaum minoriti.
Contohnya, isu rumah sewa dan peluang pekerjaan yang dialami golongan minoriti.
Beliau berkata, contoh-contoh itu melibatkan ruang bersama yang dikongsi semua kaum dan tidak harus membuat golongan minoriti menjadi mangsa diskriminasi.
Dengan itu, beliau berharap agar semua kaum terus bertolak ansur dan menegakkan prinsip kesamarataan untuk membina masyarakat yang lebih inklusif demi mencapai keharmonian dan perpaduan negara.
SUMBER: AGENSI