KUALA LUMPUR | Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak rakyat mengimbau kembali enam dekad lalu apabila semangat patriotisme dan cintakan tanah air telah menyatu-padukan rakyat dengan tekad dan iltizam untuk bangkit menentang penjajah sehingga kemerdekaan diidamkan menjadi realiti.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Baginda menzahirkan pandangan bahawa sekiranya semangat dan roh perjuangan enam dekad yang lalu diterap dan disuburkan kembali pada hari ini, nescaya
negara juga berupaya untuk merdeka dari ancaman pandemik COVID-19 buat selama-
lamanya.
“Sesungguhnya, kesepaduan sosial, integrasi nasional dan perpaduan antara kaum adalah
merupakan kunci untuk negara menghadapi apa jua cabaran yang mendatang temasuklah
menghadapi badai gelora pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara.
“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menasihati seluruh rakyat agar terus menjaga
kesihatan diri dan turut bersatu padu dalam mewujudkan suasana persekitaran yang seamat demi untuk membendung penularan pandemik ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Baginda juga berpandangan bahawa sikap segelintir yang tidak bertanggungjawab dengan melanggar prosedur operasi standard dan peraturan ditetapkan akan hanya membawa musibah kepada masyarakat dan turut berupaya menggugat pelan pemulihan negara yang dirangka.
Oleh hal yang demikian, beliau berkata, Baginda menasihati rakyat menyedari bahawa usaha mengekang pandemik ini memerlukan kesepaduan dan kesatuan seluruh rakyat, pemimpin serta kerajaan dengan menolak perbezaan pendapat dan mengenepikan pertikaian politik.
Hal ini, Baginda melihat agar wujud simbiosis erat antara semuanya dalam berjuang untuk membawa negara merdeka dari pandemik yang melanda.
Dalam pada itu, beliau berkata Baginda berdua turut menzahirkan ucapan selamat
menyambut Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia di negara ini mahupun yang
berada di luar negara.
“Seri Paduka Baginda merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan limpah kunia-Nya telah mengizinkan Baginda dan seluruh rakyat
malaysia untuk bersama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan bagi tahun 2021.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan kesyukuran kerana pada usia kemerdekaan negara menginjak ke-64 tahun, perpaduan dan keharmonian rakyat terus menjadi asas kukuh dalam mengekalkan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara yang kita cintai bersama ini,” katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan kali ini adalah merupakan tahun kedua rakyat meraikannya
dalam suasana yang masih diselubungi oleh ancaman pandemik COVID-19, namun ianya
tidak menghalang dan mematahkan semangat patriotisme dan kesatuan kuntuk terus
meraikan hari yang penuh bersejarah.