KUALA LUMPUR | Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan kerajaan untuk terus merangka dan menyusun pelan tindakan bagi membantu rakyat yang terkesan dan mengembalikan semula iklim ekonomi yang sihat.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Baginda menitahkan rakyat wajar untuk terus dilindungi agar dapat berdiri tangkas menghadapi impak negatif kemelut ini.
“Seri Paduka Baginda turut menyeru Program Imunisasi COVID-19 kebangsaan juga hendaklah terus diperkasa bagi membolehkan negara mencapai imuniti kelompok yang
diharapkan.
“Rakyat juga sewajarnya turut berpegang teguh kepada prinsip “Malaysia Prihatin’ dengan segera mendapatkan vaksin bagi melindungi diri, keluarga dan
komuniti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan pada hari ini, Seri Paduka Baginda merakamkan ucapan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan negara, petugas kesihatan, pasukan keselamatan, penjawat awam, para sukarelawan dan orang perseorangan yang telah menabur khidmat bakti kepada masyarakat dan negara.
“Seri Paduka Baginda turut mengajak rakyat untuk mengingati dan menghargai para pejuang dan patriot kemerdekaan negara, serta anggota pasukan keselamatan yang telah berkorban sehingga berjaya menyelamatkan negara daripada belenggu penjajah dan seteru negara,” katanya.
Seri Paduka Baginda dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku
Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendoakan agar negara tercinta ini terus berada dalam rahmat dan perlindungan ALLAH SWT daripada segala musibah dan pandemik COVID-19.
“Semoga ALLAH SWT akan terus memelihara dan melimpahi Malaysia yang tercinta ini dengan keberkatan rezeki, kemakmuran, kesejahteraan serta keamanan dan
perpaduan yang berkekalan,” katanya.