LAHAD DATU | Sempena kempen Kibar Jalur Gemilang dan Hari Kemerdekaan PAS Sabah dan PAS Kawasan Silam tidak ketinggalan sama-sama menyemarakkan kempen patriotik tersebut.
Lapor HarakahDaily, kempen itu diketuai Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Silam, Nizam Latuah yang diadakan di Bandar Lahad Datu.
Nizam Latuah berkata kempen tersebut bertujuan bagi memupuk semangat patriotik dalam kalangan rakyat walaupun sedang dilanda wabak Covid-19.
“Semangat patriotik dalam kalangan masyarakat perlu sentiasa dipupuk, agar mereka dapat memahami erti kemerdekaan yang sangat bermakna ini,” katanya yang juga Ahli Majlis Daerah Lahad Datu.
Ketua Penerangan PAS Silam, Mohd Ahzam Che Mat pula berkata, Jalur Gemilang bukan hanya kibaran bendera semata-mata, sebaliknya ia merupakan salah satu wasilah untuk kita menunjukkan sayang kepada negara.
Turut hadir pada program itu Ketua Urusan Ulamak PAS Silam, Ustaz Mohd Zaki Ibrahim dan beberapa ahli jawatankuasa kawasan, pemuda, muslimat dan ulama.