YAN | Dua al-Quran tulisan tangan berusia 600 tahun yang ditempatkan di Galeri Warisan Kampung Acheh terselamat dalam kejadian banjir lumpur akibat fenomena kepala air di Gunung Jerai pada Rabu dua minggu lepas.
Pengurus Kem Kampung Acheh Management Centre (KAMC), Jasni Ghani berkata, hampir 50 peratus infrastruktur di kawasan itu mengalami kerosakan termasuk landskap dan hasil tanaman kerana ramai penduduknya tinggal di tepi sungai.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, air naik sehingga lebih 1 meter di luar galeri mengakibatkan beberapa infrastruktur mengalami kerosakan.
Lebih mengejutkan, aliran air deras dalam tempoh 45 minit hingga satu jam selepas fenomena kepala air menyebabkan wujud sungai baharu berhampiran Kampung Acheh.
Bagaimanapun, khazanah lama warisan empat generasi Acheh ditempatkan di Galeri Acheh, iaitu dua al-Quran tulisan tangan berusia 600 tahun dan dinar emas selamat, katanya ketika ditemui pada Misi Bantuan Banjir Lumpur di Yan pada Isnin.
Jasni memberitahu, hanya sedikit aliran air memasuki galeri berkenaan walaupun ketika itu kawasan luar dan sekitarnya dipenuhi aliran deras serta tinggi hingga boleh menenggelamkan penduduk.
Alhamdulillah, al-Quran terpelihara dengan kekuasaan ALLAH SWT kerana bencana alam diibaratkan tsunami kecil itu hanya menyebabkan kerosakan kecil pada galeri, katanya.
Menurutnya, pihaknya mungkin mengambil masa antara enam bulan hingga setahun untuk memulihkan semula kawasan kem berkenaan.
Disebabkan pandemik Covid-19, kem yang diuruskan penduduk Kampung Acheh sudah lama tidak didatangi pelanggan dan ketiadaan pendapatan. Kerosakan yang berlaku menambahkan beban kami, katanya.-SINAR HARIAN.