KUALA LUMPUR | BERSATU berazam akan memperkasakan amalan politik khidmat bakti kepada rakyat di semua peringkat terutamanya yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara.
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bersesuaian dengan tema Hari Kebangsaan 2021, ‘Malaysia Prihatin’.
“Oleh yang demikian, BERSATU menyeru kepada semua pihak untuk mengetepikan segala perbezaan yang ada dan seterusnya memperbaharui iltizam nasional secara kolektif untuk terus fokus kepada agenda membangunkan negara dan membela rakyat.
“Usaha yang berterusan perlu untuk mengukuhkan perpaduan antara rakyat Malaysia yang majmuk dan seterusnya menjadi pemangkin atau pemacu kepada kemajuan negara di masa hadapan daripada segala aspek seperti ekonomi, pendidikan dan sosial,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, BERSATU juga menyambut baik konsep “Keluarga Malaysia” yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan menyifatkan bahawa pendekatan tersebut adalah amat bertepatan bagi memelihara keharmonian antara rakyat Malaysia yang berbilang agama, bangsa dan budaya.
“Justeru, BERSATU yakin bahawa barisan Jemaah Menteri yang baharu dilantik mampu untuk mentadbir negara selari dengan aspirasi rakyat yang mahukan proses pemulihan negara yang telah dirancang, berjalan dengan lebih lancar dan inklusif,” katanya.