IPOH | Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang menghadiri Persidangan Dewan Negeri semalam dikehendaki menjalani kuarantin kendiri selepas seorang daripada mereka disahkan positif COVID-19.
Lapor Suara Perak, Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, wakil rakyat kerajaan itu disahkan positif selepas menjalani ujian saringan Polymerase Chain Reaction (PCR) COVID-19.
Menurutnya, individu tersebut mula mengalami simptom demam sejak malam tadi sebelum menjalani ujian PCR bagi tujuan pengesahan.
“Ujian PCR menunjukkan ADUN berkenaan disahkan positif dan dengan keputusan itu, semua yang terlibat pada Persidangan Dewan Negeri Isnin lalu telah diarahkan menjalani kuarantin diri bermula hari ini bagi tujuan keselamatan.
“Arahan ini termasuklah kepada Speaker, petugas Dewan dan semua pegawai khas ADUN yang berada dalam Dewan Negeri,” katanya hari ini.
Sementara ADUN Pengkalan Baharu yang juga Penasihat Khas kepada Menteri Besar Perak, Datuk Abdul Manaf Hashim berkata, ADUN berkenaan menjalani ujian PCR pagi ini.
Sambil mengesahkan semua Ahli Dewan Negeri diarahkan menjalani kuarantin, beliau berkata, mereka belum dimaklumkan lebih lanjut berhubung perkara itu.
“Tak tahu lagi berapa lama (kuarantin), tetapi kami kena buat ujian calitan dulu, mungkin dalam masa empat lima hari, tapi kalau ada simptom, kena buat ujian segera,” ujarnya.
Persidangan DUN Perak berlangsung selama empat hari bermula 25 Ogos lepas hingga semalan dengan mengguna pakai konsep gelembung selepas mengambil kira situasi semasa penularan pandemik COVID-19.