KOTA BHARU | Terus dikritik, hakikatnya kabinet baharu yang mengangkat sumpah semalam adalah jemaah menteri telah mendapat perkenan dan kepercayaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Seharusnya, pembangkang mahupun pengkritik yang sengaja menghangatkan suhu politik negara kini ke arah menemui titik perpaduan demi rakyat, sedar dan tidak lagi perlu mendendangkan isu kepimpinan kitar semula.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, barisan kepimpinan peneraju negara hari ini adalah kesinambungan daripada tampuk pemerintahan era Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dibawa menganggotai kabinet bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Boleh dikatakan 95 peratus kabinet yang ada hari ini adalah dari Kerajaan Perikatan Nasional (PN). Kabinet Recycle itu maksudnya kabinet yang berjaya.
“Kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan yang berjaya kerana mereka juga diberikan kepercayaan untuk meneruskan agenda Pemulihan Negara.
“Kalau dulu yang disebut sebagai kerajaan gagal, itu semua tidak betul. Sekarang ini kerajaan yang ada ini kerajaan yang berjaya, dan paling penting kabinet sekarang menerima perkenan yang di-Pertuan Agong.
“Maknanya Yang di-Pertuan Agong percaya dan yakin bahawa kabinet ini, kabinet yang berjaya, sebab itulah Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik,” katanya kepada media hari ini.
Terdahulu beliau yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kota Bharu mengagihkan 300 Jalur Gemilang kepada orang ramai di beberapa lokasi termasuk di Pasar Besar Berek 12 dan Pasar Siti Khadijah.
Bagi menyemarakkan lagi Sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke 64 kali ini, beliau turut melekatkan Jalur Gemilang di kenderaan yang melalui kawasan tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut menyelar tindakan pihak yang menuduh kerajaan yang ada kini sebagai pimpinan kitar semula dengan menyifatkan kumpulan berkenaan sebagai bankrap idea.
Katanya, kumpulan tersebut sudah tidak mampu mencari ‘peluru’ untuk menembak kerajaan ataupun menghidu kekurangan kepimpinan yang ada hari ini.