ALOR SETAR | Jabatan Kesihatan Negeri Kedah telah melakukan siasatan segera berikutan video yang tular dalam media sosial mengenai seorang pesakit lelaki yang jatuh dan meninggal dunia dalam wad dan didakwa lewat mendapat bantuan petugas hospital.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Othman Warijo berkata, pesakit adalah seorang warga emas yang telah dimasukkan ke wad Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, pada 26 Ogos setelah dirujuk oleh Pusat Penilaian COVID-19 Daerah Kuala Muda.
Beliau berkata, warga emas tersebut mempunyai sejarah beberapa penyakit kronik dan mendapat COVID-19 Kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen.
“Sepanjang berada di wad, keadaan pesakit kurang stabil dan memerlukan tekanan oksigen yang semakin tinggi. Beliau bagaimanapun kelihatan tidak selesa dengan alat bantuan oksigen yang dipakaikan.
“Pesakit dipantau dengan lebih kerap oleh petugas kesihatan yang boleh bertutur dalam bahasa ibunda pesakit bagi memantapkan komunikasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pada hari kejadian, setelah rondaan wad pagi selesai dan pegawai perubatan serta jururawat menanggalkan pakaian PPE (doffing) sekitar jam 1.45 tengah hari.
Katanya, pada kira-kira jam 2.25 petang, petugas wad diberitahu oleh pesakit lain, seorang pesakit telah jatuh dari katil.
“Pegawai Perubatan bertugas bergegas memakai PPE lengkap dan terus memeriksa pesakit yang didapati terbaring di lantai wad. Pemakaian PPE telah mengambil masa kira-kira 5 minit.
“Ketika itu, pesakit didapati tiada lagi tanda-tanda hidup. Pesakit telah dinaikkan ke katil semula dan disahkan meninggal dunia. Punca kematian pesakit adalah Severe COVID-7 9 Pneumonia,” katanya.
Dr. Othman berkata, pakar perubatan telah bertemu dengan ahli keluarga pesakit pada petang yang sama dan menjelaskan situasi sebenar kejadian.
Katanya, ahli keluarga sememangnya telah maklum keadaan pesakit yang kian merosot sebelum itu dan menerima baik penjelasan yang diberikan pihak hospital.
“Jabatan ini mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan kesal atas penularan video berkenaan yang tidak sepatutnya berlaku. Jabatan ini memohon agar masyarakat umum menghormati ahli keluarga mendiang dan menghentikan penularan video tersebut.
“Jabatan juga akan rnenjalankan siasatan lebih mendalam mengenai insiden ini dan mengambil tindakan penambahbaikan yang diperlukan,” katanya.