by Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Jumlah kematian akibat COVID-19 di negara ini kekal melebihi 200 kes hari ini, dengan hampir separuh daripadanya adalah kes kematian di luar hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan 282 kes kematian COVID-19 direkodkan hari ini, merangkumi 238 rakyat tempatan dan 44 warga asing.
Daripada jumlah itu, katanya, sejumlah 98 kematian adalah kes BID membabitkan 63 rakyat tempatan dan 35 warga asing, peningkatan berbanding 53 kes BID semalam.
“Ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kepada 16,664 atau 0.95 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif yang dikesan.
“Ketika ini, pesakit COVID-19 di unit rawatan rapi (ICU) adalah seramai 1,005 kes, manakala pesakit COVID-19 yang memerlukan bantuan pernafasan adalah seramai 464 kes,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.