CYBERJAYA | Kebakaran kabin menara komunikasi di Menara Felda Seberang Tayor, Kemaman Terengganu mengakibatkan gangguan perkhidmatan di beberapa buah menara yang bersambungan.
Ia melibatkan iaitu di Felda Air Puteh, Lubuk Lesong, Kg. Paman, Ladang Boustead, Kg. Pasir Gajah, Kg. Lubuk Lesung, Kg. Pasir Semut, Kg. Tebak dan Kg. Teladas.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku sekitar 5.58 petang pada hari semalam.
Katanya, kebakaran melibatkan sebuah menara komunikasi milik pihak Desabina Industries Sdn Bhd yang digunakan oleh pihak Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile.
“Punca kebakaran di kabin menara komunikasi berkenaan masih dalam siasatan.
“Kebakaran tersebut telah memusnahkan semua peralatan di dalam kabin, bahagian dalam kabin dan bekalan elektrik di menara berkenaan namun tidak melibatkan struktur menara sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, semua penyedia perkhidmatan yang berada di menara tersebut telah mengambil langkah sementara dengan menggerakkan Mobile Communication Vehicle (MCV) dan Portable Base Transceiver Station (pBTS) ke lokasi kejadian.
“Ia adalah untuk memberikan perkhidmatan sehingga kerja-kerja baik pulih siap sepenuhnya, yang dijangkakan selewat-lewatnya Isnin depan,” katanya.