KOTA BHARU | Diberikan kepercayaan dan perkenan untuk mentadbir negara, kerajaan hari ini perlu bergerak dengan pantas berlandaskan cara paling berkesan dalam menangani krisis kesihatan dan ekonomi ketika mana pandemik masih mengganas di negara ini.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, dengan komposisi kabinet baharu ini, idea bernas mahupun langkah terbaik perlu dilakukan dengan segera.
Katanya, hal ini supaya Pelan Pemulihan Ekonomi Negara dan juga Pelan Pemulihan Negara dapat dilaksanakan mengikut tempoh masa yang telah dirangka sebelum ini.
“Tugas utama kabinet yang ada hari ini adalah untuk membawa negara keluar dari kemelut pandemik COVID-19 dan sekali gus memulihkan ekonomi dalam jangka masa 12 bulan,” katanya kepada media hari ini.
Saranan berkenaan bertepatan dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahukan kerajaan untuk terus merangka dan menyusun pelan tindakan bagi
membantu rakyat terkesan dan mengembalikan semula iklim ekonomi yang sihat.
Terdahulu Mohamed Farid yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kota Bharu mengagihkan 300 Jalur Gemilang kepada orang ramai di beberapa lokasi termasuk di Pasar Besar Berek 12 dan Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu.
Bagi menyemarakkan lagi Sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke 64 kali ini, beliau turut melekatkan Jalur Gemilang di kenderaan yang melalui kawasan tersebut.
Mengulas lanjut, Mohamed Farid juga mahukan rakyat seharusnya bekerjasama mendokong kerajaan yang kini dalam proses baharu hendak ‘bertatih’.
Katanya, semua pihak perlu memahami keadaan negara buat masa ini yang ibaratkan seperti proses perkembangan seorang kanak-kanak daripada merangkak kepada berjalan dan seterusnya gagah berlari.
“Samalah dengan negara kita ini, kita dalam keadaan merangkak. Cuba membolehkan ekonomi rakyat, membolehkan aktiviti ekonomi lain berlangsung. Ia masih lagi baharu.
“Selepas ini kita akan berjalan. Apabila kita boleh berjalan kemungkinan selepas ini ekonomi dan kelangsungan rakyat akan bertambah baik.
“Apabila kita berlari, maksudnya kita boleh mencapai sasaran yang lebih tinggi,” katanya.