KUALA LUMPUR | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa kerajaan akan memastikan kelancaran penghantaran bekalan vaksin kepada enam negeri iaitu Terengganu, Perak, Johor, Kelantan, Kedah dan Sabah.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia bagi memastikan enam negeri itu masing-masing mencapai kadar vaksinasi melebihi 50 peratus sebelum hujung September ini.
Katanya, walaupun dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), masih terdapat risiko untuk lebih ramai lagi terkesan dengan jangkitan COVID-19 jika masih ada di dalam komuniti yang tidak divaksin dengan dos lengkap.
“Sektor ekonomi, pengangkutan, perniagaan dan sosial akan berterusan terjejas.
“Sistem kesihatan juga kini dibebani dengan kemasukan kes-kes kategori 4 dan 5 yang meningkat di kalangan yang tidak divaksinasi.
“Tambahan pula, apabila virus ini menular secara berterusan dalam komuniti yang tidak divaksin, kemungkinan untuk varian-varian baharu muncul adalah lebih tinggi,” katanya menerusi kenyataan di sini.
Beliau berkata, semua pihak mesti bersama-sama dalam satu pasukan memerangi pandemik ini.
“Marilah kita pastikan semua penduduk Malaysia yang layak mendapat vaksin COVID-19 dan mematuhi SOP agar negara kita dimerdekakan daripada jangkitan COVID-19,” katanya.