KUCHING | Seorang lelaki rugi RM70,000 selepas terpedaya helah sindiket Macau Scam yang mendakwa syarikatnya mempunyai tunggakan cukai.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong, berkata mangsa lelaki tempatan berusia 30-an menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan dirinya kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), jam 3 petang kelmarin.
Pemanggil memaklumkan syarikat mangsa di Kedah mempunyai tunggakan cukai yang belum dibayar berjumlah lebih RM17,000.
“Pada awalnya mangsa menafikan mempunyai syarikat di Kedah, namun perbualan telefon mangsa kemudian telah disambungkan ke satu nombor lain dan bercakap dengan seorang lelaki mendakwa dirinya pegawai polis.
“Mangsa dimaklumkan syarikat di Kedah ada terbabit dalam penggubahan wang haram dan mangsa diminta memberikan semua data peribadi, nama dan kata laluan perbankan online serta nombor akaun untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terpedaya dengan dakwaan itu, mangsa telah memberikan butir-butir peribadi dan butir-butir perbankannya kepada pemangil.
“Selepas itu mangsa telah menerima beberapa nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC), sekali lagi mangsa telah menuruti segala arahan pemanggil dan telah memberikan semua nombor TAC berkenaan.
“Mangsa kemudian membuat semakan akaun secara dalam talian dan menyedari wang RM50,000 dalam akaun Hong Leong Bank miliknya telah dipindahkan ke akaun Ambank atas nama individu warganegara tempatan dan wang RM20,000 dari Public Bank dipindahkan ke akaun Hong Leong Bank atas nama individu lain,” katanya.