KUALA TERENGGANU | Polis Terangganu hari ini menafikan berlaku kesesakan di beberapa lokasi tumpuan di negeri itu yang kononnya meraikan sambutan ambang merdeka sebagaimana ditularkan di media sosial.
Polis Terengganu dalam satu kenyataan berkata, sejak pagi tadi, pihaknya mengesan beberapa video menunjukkan kesesakan di atas Jambatan Angkat, (DrawBridge) Kuala Terengganu, dikatakan meraikan Sambutan Ambang Merdeka 2021.
“Semakan dibuat oleh PDRM Terengganu mendapati tidak berlaku kejadian seperti yang ditularkan di media sosial.
“Ini kerana pihak PDRM Terengganu sentiasa mengenalpasti lokasi orang ramai berhimpun apabila ada suatu sambutan berlaku, dan lokasi-lokasi ini termasuklah DrawBridge serta Batu Burok akan diberikan lebih perhatian,” katanya hari ini.
Kenyataan itu juga menyebut, sejak petang 30 Ogos lalu, sempena Op Ambang Merdeka 2021, polis telah memantau kedua-dua lokasi tersebut.
“Selepas jam 10.30 malam, kedua-dua lokasi didapati tenang dan terkawal. Tiada sebarang perarakan secara beramai-ramai seperti dalam video yang ditularkan.
.
“Tindakan memuatnaik video yang boleh menimbulkan kegusaran awam seperti ini adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Ketua Polis Terengganu akan mengeluarkan Kenyataan Akhbar berhubung perkara ini dalam masa terdekat.