BACHOK I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menggariskan enam teras utama melalui Pelan Strategik UMK (PSU) 2021-2025 dalam usaha memacu kecemerlangan untuk mencapai misi dan visi sebagai Universiti Keusahawanan tersohor di peringkat global.
Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Noor Azizi Ismail berkata, enam teras tersebut merangkumi Keunggulan Pelajar, Kelestarian Kewangan, Keunggulan Bakat, Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi, Kerelevanan Program Akademik dan Pengantarabangsaan dan Kebitaraan Keusahawanan.
Beliau berkata, enam teras berkenaan akan disokong dengan 16 objektif strategi, 54 inisiatif strategik disamping 22 Petunjuk Prestasi Utama (KPI), serta 77 kaedah pengukuran yang dinamik dan mengikut kesesuaian semasa bagi memastikan teras berkenaan dapat direalisasikan dalam tempoh berkenaan.
“Pemantauan PSU ini juga berdasarkan kepada pencapaian KPI yang telah disejajarkan dengan KPI Minister Performance Indicators (MPI), Outcome Based Budgeting (OBB) dan Keusahawanan pada peringkat kementerian.
“Universiti berharap pelan strategik yang digariskan ini dapat dijayakan oleh warga UMK bagi merealisasikan hasrat UMK menjadi Universiti Keusahawanan tersohor.
“Objektif PSU ini adalah untuk menyokong agenda pembangunan Kementerian Pengajian Tinggi yang berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab pengajian tinggi yang terunggul melalui PPT 2015-2025,” katanya pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik UMK 2021-2025, yang diadakan secara dalam talian menerusi Facebook Rasmi UMK baru-baru ini.
Pelancaran PSU 2021-2025 telah disempurnakan oPengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.
Sementara itu, mengulas mengenai perkara itu, Hussamuddin berkata, ketika ini negara sangat memerlukan individu yang mempunyai ciri-ciri keusahawanan yang mampu untuk menghadapi cabaran sentiasa berubah.
Katanya, masih ramai yang masih takut untuk menyahut cabaran untuk meletakkan “kepala mereka” pada risiko yang mendatang.
“Ramai di kalangan kita takut kepada kegagalan dan lebih rela mengambil jalan selamat dengan tidak melakukan apa-apa daripada membuat kesilapan.
“Mentaliti ini tidak boleh ada di UMK kerana warga UMK harus berjiwa besar, harus menginginkan sesuatu di luar jangkaan dan bekerja keras bagi memastikan keinginan tersebut tercapai,” katanya.
Harapan beliau agar warga UMK dapat menghayati intipati Pelan Strategik UMK 2021-2025 ini dan seterusnya dijadikan sebagai sumber rujukan utama dalam melaksanakan dasar pembangunan universiti demi merealisasikan visi dan misi UMK.