By Nik Amir
KUALA LUMPUR | Buat kali kedua berturut-turut pertandingan peringkat bawah umur kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui musim “suram” setelah saingan Piala Presiden dan Piala Belia 2021 dibatalkan serta-merta.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pembatalan itu dilakukan selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 dan hal-hal pengoperasian serta keselamatan semua pemain, pegawai, petugas yang terlibat dalam penganjuran kedua-dua pertandingan itu.
Menurut beliau, keputusan itu juga diambil selaras dengan status penganjuran kedua-dua pertandingan tersebut yang sehingga kini masih belum mendapat ‘lampu hijau’ daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Sebagai badan induk bola sepak negara, FAM bukan saja bertanggungjawab untuk pembangunan bola sepak dan penganjuran pertandingan tetapi juga perlu mengambil kira beberapa perkara lain terutama soal keselamatan dan kesihatan pemain yang terlibat dalam lingkunga usia di antara 17 hingga 22 tahun.
“Beberapa perkara penting di dalam penyediaan SOP dilihat masih belum cukup untuk memberi jaminan pada tahap tertinggi dalam segala aspek penganjuran telah mendorong FAM mengambil keputusan membatalkan kedua-kedua pertandingan ini,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Jelas Stuart, ia satu keputusan yang berat namun perlu dilakukan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku terutamanya daripada segi keselamatan dan kesihatan pemain.
Tambah beliau lagi, biarpun kadar kes baharu Covid-19 di Lembah Klang telah menunjukkan penurunan namun kes baharu di negeri lain dilihat meningkat dan masih tidak menentu sekali gus tempoh masa lebih lama diperlukan untuk melihat jumlah kes berada pada tahap rendah bagi membolehkan kedua-dua pertandingan itu berlangsung.
“Faktor para pemain Piala Presiden dan Piala Belia 2021 yang sudah melengkapkan vaksin juga pada tahap agak rendah ketika ini di mana ia akan memberi risiko tinggi terhadap keselamatan dan kesihatan pemain jika kedua-dua pertandingan tetap mahu dilangsungkan pada tahun ini,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, saingan Piala Presiden dan Piala Belia musim lalu hanya sempat dilangsungkan tiga hingga empat perlawanan sebelum ia dibatalkan setelah negara dilanda wabak pandemik.