SINGAPURA | Remaja lelaki berusia 16 tahun yang dituduh membunuh seorang pelajar Menengah 1 di Sekolah Tinggi River Valley (RVHS) pada Julai lalu akan dipindahkan ke Kompleks Penjara Changi, di mana ibu bapa dan peguamnya akan dibenarkan untuk mengunjunginya.
Hari ini, lapor Agensi, pihak pendakwa berkata, remaja itu, yang hadir di Mahkamah Negara melalui pautan sidang video, tidak lagi akan ditahan reman di Kompleks Polis Cantonment. Dia ditahan di sana sejak seminggu lalu setelah selesai menjalani penilaian psikiatri.
Sebelum ini, tertuduh, yang tidak boleh didedahkan namanya kerana dia masih budak bawah umur dilindungi oleh perintah mahkamah, dibenarkan mengadakan panggilan video dengan ibu bapanya pada 13 Ogos.
Berita Mediacorp melaporkan, Selasa lalu (24 Ogos), pihak pendakwa berkata, pengaturan sudah dibuat untuk membolehkan remaja lelaki berusia 16 tahun itu untuk bercakap dengan ibu bapanya.
“Saya hanya ingin memberitahu tertuduh bahawa saya akan menemuinya tidak lama lagi dan ibu bapanya juga akan menemuinya tidak lama lagi,” kata peguam bela Sunil Sudheesan ketika itu.
Remaja berkenaan sebelum ini direman di Pusat Perubatan Kompleks Penjara Changi bagi penilaian psikiatri setelah didakwa pada 20 Julai, sehari selepas pembunuhan itu.
Dapatan daripada penilaian psikiatri itu masih belum didedahkan.
Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa remaja berkenaan adalah bekas pesakit Institut Kesihatan Mental (IMH) setelah cuba membunuh diri pada 2019.
Remaja warga Singapura itu menghadapi satu tuduhan menyebabkan kematian remaja berusia 13 tahun antara 11.16 pagi dengan 11.44 pagi pada 19 Julai dalam sebuah tandas di tingkat empat sekolah tersebut yang terletak di 6 Boon Lay Avenue.
Para pegawai polis menemukan mangsa terbujur dengan beberapa kesan luka di dalam tandas tersebut.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan sebilah kapak dirampas sebagai bukti kes berkenaan.
Siasatan awal menunjukkan bahawa tertuduh dan mangsa tidak mengenali antara satu sama lain, menurut polis ketika itu.
Tertuduh akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada 19 Oktober selepas persidangan pra-perbicaraan Mahkamah Tinggi pada 12 Oktober.
Walaupun pembunuhan biasanya membawa hukuman mati di Singapura, mereka yang berusia bawah 18 tahun boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah.