KUALA LUMPUR | Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai badan yang mengawalselia setiausaha syarikat di bawah Akta Syarikat 2016 telah diberi tanggungjawab sebagai badan pelulus bagi permohonan kebenaran beroperasi yang dikemukakan oleh firma setiausaha syarikat.
Dalam satu kenyataan SSM berkata, pihak kerajaan sebelum ini telah mengumumkan bahawa syarikat perkhidmatan profesional dan perundingan dibenarkan beroperasi di bawah Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Nasional (PPN), tertakluk kepada syarat kelulusan pihak berkuasa yang mengawalselia perkhidmatan tersebut.
“Lanjutan dari pengumuman tersebut, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah bersetuju menyenaraikan perkhidmatan setiausaha syarikat di bawah perkhidmatan profesional dan perundingan, seterusnya membenarkan firma setiausaha syarikat untuk mengemukakan permohonan beroperasi kepada MITI bagi tujuan menjalankan perkhidmatan kesetiausahaan.
“Justeru, ahli kepada badan-badan profesional yang diluluskan di bawah Jadual Keempat Akta Syarikat 2016 boleh mengemukakan permohonan bagi firma kesetiausahaan masing-masing sekiranya berhasrat untuk memulakan operasi di premis perniagaan masing-masing.
“Permohonan boleh dihantar melalui COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) yang dikendalikan oleh MITI. Sila log masuk melalui https://notification.miti.gov.my/login. Panduan mengenai permohonan telah disediakan oleh MITI melalui portal https://www.nniti.gov.my/redir/ppn/cims.html,” katanya.
Menurut kenyataan, firma setiausaha syarikat yang memperoleh kelulusan berpoperasi di bawah Fasa 1 dan Fasa 2 PPN dinasihatkan untuk mematuhi syarat yang ditetapkan oleh MITI dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh MKN dari semasa ke semasa bagi mengekang penyebaran wabak COVID-19.
“Diharapkan dengan pembukaan semula sektor ini, firma setiausaha syarikat dapat terus memainkan peranan dalam menyokong sektor korporat terutama melibatkan Perusahaan Kecil dan Sederhana dalam menghidupkan kembali ekonomi negara.
“Untuk maklumat lanjut, sila rujuk soalan lazim di portal rasmi SSM di www.ssm.com.my. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila hubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau emel kepada enquiry@ssm.com.my. Emel juga boleh dihantar kepada esecretary@ssm.com.my,” katanya.