KUALA LUMPUR | Kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Ismail Datuk Seri Sabri Yaakob adalah untuk rakyat, dan tidak perlu mempolemikkan namanya.
Lapor Sabah Gazette, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata apa yang penting adalah kerajaan baharu ini menumpukan kerja dan memastikan rakyat didahulukan.
“Cara baik, usah panjangkan isu nama. Kita tumpukan kepada kerja.
“Ini adalah kerajaan untuk rakyat. Tidak perlu berpolemik perkara yang pada saya tidak begitu penting,” katanya pada sidang media di Rumah Prihatin atau Hotel Grand Seasons.
Beliau berkata demikian berhubung kenyataan beberapa pimpinan Umno dan Bersatu yang tidak bersefahaman isu nama kerajaan baharu.
Sebelum ini, bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika mengucapkan tahniah kepada Ismail merujuk kerajaan baharu itu sebagai kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Seorang lagi pemimpin Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga dipetik media sebagai berkata “Saya percaya Ismail akan terus memimpin kerajaan PN” dengan fokus pada pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi.
Bagaimanapun, pada 28 Ogos lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno membuat ketetapan dengan beberapa panduan utama selepas perbincangan dan dipersetujui bersama Ismail yang juga merupakan Naib Presiden parti Melayu itu.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara panduan itu adalah kerajaan perlu terus menggunakan jenama Keluarga Malaysia dan Kerajaan Malaysia dengan tidak lagi menggunakan penjenamaan Kerajaan PN.
Dalam pada itu, Annuar berkata kerajaan baharu ini wujud berasaskan permuafakatan bagi memastikan ketidaktentuan penarikan beberapa ahli Parlimen BN dalam kerajaan PN tidak berlarutan.
Katanya, ketidakstabilan itu perlu diatasi supaya rakyat tidak menjadi mangsa.
“Tujuan untuk segera kembalikan kestabilan bertujuan untuk teruskan agenda yang telah dilaksanakan oleh kerajaan PN terutama dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Nak dipanggil nama apa kerajaan itu, terpulang,” katanya.