KOTA BHARU | Sudah tiba masanya kerajaan menguatkuasa undang-undang lebih ketat dengan mengunci pintu sepenuhnya daripada kemasukan dana asing ke negara ini, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi.
Beliau yang juga Ketua BERSATU Bahagian Kota Bharu, berkata kerajaan harus menentang keras kemasukan dana asing yang bukan saja menjejaskan kedudukan negara, malah memberi ancaman kepada kedaulatan negara.
Justeru, katanya, negara perlu mempunyai sistem yang mana dana asing perlu diperiksa Bank Negara dan seterusnya menguatkuasakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001 ‘without fear and favor’.
“Kita memandang serius isu kemasukan dana asing seperti dari Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang mempunyai sumber kewangan cukup besar untuk membawa masuk ideologi dan pengaruh ke negara ini.
“Kita tiada bukti yang cukup untuk mengatakan pihak pembangkang menerima pendanaan daripada National Endowment for Democracy (NED), namun perkara itu tidak mustahil berlaku.
“Bayangkan terdapat ahli politik yang dipilih rakyat tapi tidak membawa agenda rakyat, sebaliknya melaksanakan agenda daripada pemberi sumber dana asing berkenaan,” katanya kepada pemberita pada Program Bederai Memasak Bubur Asyura sempena Sambutan Maal Hijrah dan Kemerdekaan, di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan PKR dan DAP masing-masing menerima pendanaan daripada NED iaitu badan berpangkalan di AS yang didakwa membiayai parti pembangkang selama lebih sedekad.
Mengulas lanjut, katanya, banyak pertubuhan terutama daripada AS memainkan peranan dalam catur pergerakan politik yang bukan saja membabitkan Malaysia, tapi seluruh dunia.
Menurutnya, jika benar berlaku kemasukan dana asing, undang-undang perlu penambahbaikan supaya tiada arah tuju negara dapat dikawal sebahagian kecil daripada pemberi dana.
“Kalau dana asing masuk dengan jumlah yang besar membabitkan bilion ringgit, ia sekali gus merosakkan sistem demokrasi negara kita.
“Bank Negara harus memastikan bahawa perkara ini telus dan kalau ada kemasukan (dana asing) maka perlu perketatkan undang-undang.
“Pembangkang harus sedar apa yang dilakukan. Janganlah dengan sifat tamak haloba sampai lakukan perkara yang tidak membawa kebaikan kepada negara kerana kita tidak mahu mereka berpaksi kepasa AS dan Israe memandangkan mereka ada agenda tersendiri,” katanya.
Tamat