KUALA LUMPUR | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti sebanyak 265 kes varian baharu virus SARS-CoV-2 yang kesemuanya adalah Variant membimbangkan (VOC) iaitu varian Delta (B.1.617.2).
Ianya hasil kajian berterusan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Selangor dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Institute of Health and Community Medicine (IHCM).
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, IMR mengenal pasti sebanyak 39 kes varian Delta (B.1.617.2), iPROMISE mengenal pasti 48 kes varian Delta (B.1.617.2).
Katanya, manakala Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Institute of Health and Community Medicine (IHCM) pula telah mengenal pasti sebanyak 178 kes varian Delta (B.1.617.2).
“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 1,221 kes.
“Daripada jumlah itu, 1,201 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI.
“Secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 978 kes varian Delta, 209 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha, manakala VOI terdapat 13 kes varian Theta, 4 kes varian Kappa, dan 3 kes varian Eta,” katanya menerusi kenyataan di sini.