KUALA LUMPUR | Anggota tentera yang hilang di Sungai Pahang ditemukan lemas pagi tadi
Mangsa, Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa, 27, daripada pasukan Kompeni Pandura (Para) ditemui pada 8.15 pagi.
Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan mengesahkan mangsa ditemui oleh penduduk kampung di kawasan Kampung Serengkam, Maran kira-kira 70 kilometer dari lokasi kejadian.
“TDM menzahirkan ucapan takziah buat isteri Allahyarham Mohamad Azrin iaitu Puan Nor Aqila Syafiqa Safuan serta seluruh ahli keluarganya.
“TDM akan menghulurkan bantuan sewajarnya dari segala aspek dalam memastikan kebajikan keluarga tersebut.
“TDM merakamkan penghargaan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 2 Pahang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung serta mana-mana agensi yang membantu secara langsung dan tidak langsung dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mohamad Azrin hilang ketika menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang dan SAR digerakkan bermula 4.50 petang, 29 Ogos lalu.