by Nor Shazleza Shahril
KOTA BHARU | Sebanyak 30,000 pelitup muka sumbangan daripada Kumpulan Malvest diedarkan kepada badan-badan kerajaan dan barisan hadapan demi memerangi pandemik COVID-19 yang masih melanda negara ketika ini.
Sumbangan itu antara salah satu di bawah Program Tanggungjawab Sosial Koporat (CSR) Malvest2U dan sebagai tanda penghargaan kepada kakitangan kerajaan serta barisan hadapan yang terus bertugas dalam suasana pendemik yang mencabar.
Kumpulan Malvest berkata, 5,000 pelitup muka juga turut diserahkan kepada Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan Al-Muhammadi untuk kegunaan Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan di Istana Balai Besar.
“Selain itu, badan-badan kerajaan yang turut menerima sumbangan tersebut adalah Pejabat Menteri Besar Negeri Kelantan, Pejabat Timbalan Menteri Besar Negeri Kelantan, Majlis Perbandaran Kota Bharu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan.
“Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan, Ibu Pejabat Polis Kontingen Kelantan, Air Kelantan Sdn Bhd, Jabatan Ukur dan Pemetaan Kelantan serta Jabatan Kerja Raya Kelantan juga turut menerima sumbangan tersebut.
“Aktiviti sumbangan pelitup muka Malvest kali ini akan berterusan untuk seketika demi membantu kerajaan menangani pandemik COVID-19,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh wakil Kumpulan Malvest, Pui Lee Yin.
Kumpulan Malvest merupakan pemaju terkemuka projek-projek hartanah di negara ini antaranya Troika Kota Bharu yang baru disempurnakan menerusi usahasama dengan Yayasan Kelantan Darulnaim serta Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan.