by Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Kekerapan hujan di beberapa negeri kebelakangan ini berlaku disebabkan negara sedang berada dalam tempoh Monsun Barat Daya (MBD) yang bermula pada 19 Mei lalu dan dijangka berakhir pada minggu kedua atau ketiga September ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan berkata, ketika ini negara mengalami keadaan tempoh monsun melemah (monsoon break).
Menurut kenyataan itu, keadaan itu menyebabkan berlaku perubahan tiupan arah angin memasuki rantau negara hingga menggalakkan pembentukan awan aktif dan menyebabkan cuaca lembap, sekali gus mempengaruhi perubahan cuaca di kawasan berkenaan.
“Selain itu, fenomena garis badai yang membawa keadaan cuaca hujan lebat dan angin kencang beserta petir pada awal pagi berpotensi tinggi berlaku ketika MBD, terutama di kawasan pantai barat Semenanjung dan barat Sabah.
“Justeru, kekerapan hujan yang berlaku boleh menyebabkan banjir di kawasan berisiko, terutama kawasan berkedudukan rendah, kaki bukit dan berhampiran sungai,” menurut kenyataan itu, di sini.
MetMalaysia berkata, orang awam dinasihatkan untuk lebih berwaspada dalam tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MET Malaysia.
“Orang ramai disarankan mendapatkan maklumat terkini berkaitan cuaca dan amaran cuaca melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil, myCuaca dan laman sosial rasmi MET Malaysia,” katanya.