KANGAR | Orang ramai tanpa mengira kaum dan fahaman politik dijemput hadir ke program Infaq Ikan Temenung Percuma pada Jumaat ini.
Lapor HarakahDaily, program itu akan diadakan di Markas PAS Padang Kota, dianjurkan PAS Kangar melalui Jabatan Pilihanraya Dun (JPrD) Bintong.
Yang Dipertua PAS Kangar, Yussaine Yahya berkata, sehingga sekarang pelbagai bentuk program kebajikan dianjurkan pihaknya bagi membantu meringankan beban rakyat.
Katanya, PAS sentiasa prihatin terhadap nasib rakyat dengan mengadakan pelbagai program turun padang sejak dahulu sehingga sekarang.
“Kita bukan sekadar riuh di media sosial atau hanya lantang berucap, sebaliknya turun padang memperjuangkan nasib rakyat.
“Kita berusaha membantu rakyat melalui pelbagai program kemasyarakatan yang dibuat dalam ruang kemampuan yang ada. Kita sedar ini tanggungjawab dan bukan soal meraih populariti,” katanya di sini.
Menurutnya juga ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19, namun agenda kebajikan PAS tetap menjadi keutamaan.
Beliau juga berkata, PAS Kangar merancang pelbagai program kebajikan memandangkan ramai penduduk terjejas ekoran penularan wabak Covid-19 sekarang.