KOTA BHARU | Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, terhadap pertuduhan cuba membunuh ayah kandungnya, minggu lalu.
Tertuduh, Muhamad Nur Amin Azmail, 28, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu yang mengalami masalah mental
didakwa dengan pengetahuannya telah mencuba membunuh ayah kandung, Azmail Mohd Salmon, 66, dengan cara menikam pada bahagian leher dengan menggunakan sebilah pisau.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di hadapan Pasar Bachok jam 10.40 pagi, pada 24 Ogos 2021.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry yang memaklumkan, tertuduh mendapat rawatan psikiatri di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sejak lima tahun lalu dan masih menerima rawatan serta janji temu akan datang pada 6 Oktober depan.
“Saya mohon tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk menjalani pemeriksaan psikiatri serta tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan yang serius,” katanya.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk pemeriksaan dan 30 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.