IPOH | Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memulakan projek rintis sistem solar fotovoltaik (PV) di Bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak dekat sini selepas ianya siap dipasang pada Julai lalu.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata pelaksanaan projek berkenaan susulan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara MBI bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan anak syarikat TNB, GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) pada 23 Mac.
Menurutnya projek berkenaan mampu memberi penjimatan bil elektrik sehingga RM2.5 juta kepada MBI bagi tempoh 21 tahun di bawah kontrak Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE).
“Penggunaan panel solar PV ini bukan sahaja bertepatan dengan usaha MBI untuk mencapai matlamat menjadi bandaraya pintar lestari dan rendah karbon yang lebih bersih, hijau dan lebih maju malah mampu menjimatkan lebih kurang RM47,964 bil elektrik pada tahun pertama projek ini dilaksanakan.
“Pada bulan Ogos, dengan menggunakan sistem solar ini Bangunan UTC Perak ini telah dapat menjimatkan sebanyak 22 peratus bil TNB daripada data yang direkodkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Turun Padang Datuk Bandar Lawatan Kerja Projek Solar di UTC Perak, di sini, pada Rabu yang turut dihadiri Ketua Retail TNB Perak Ir Mohd Azhar Abd Rashid.
Selain itu Rumaizi berkata sekiranya projek rintis berkenaan berjaya memberi impak positif, pelaksananya akan diperluaskan ke bangunan atau premis milik MBI lain.
Antaranya Kompleks Sukan MBI yang melibatkan Stadium Perak, Stadium Indera Mulia serta Pusat Akuatik Tuanku Zara.
Katanya lagi ia merupakan sebahagian usaha MBI dalam menjadikan Bandaraya Ipoh sebagai Bandar Raya Rendah Karbon dan Bandar Pintar menjelang tahun 2030.
Tambah beliau satu Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Rendah Karbon telah dihasilkan menerusi kerjasama pelbagai pihak dengan MBI termasuk TNB bagi mencapai tujuan tersebut.
“Matlamat kita yang utama bukan sekadar untuk menjimatkan kos bil elektrik tetapi kita mahu menuju ke arah Bandaraya Rendah Karbon.
“Kita cuba untuk tidak menggunakan tenaga berasaskan (bahan bakar) fosil jadi kita pergi kepada tenaga diperbaharui seperti solar, salah satunya.
“Kalau kita tengok tadi unjuran impak daripada sistem teknologi ini, ia dapat menyelamatkan 47 batang pokok dalam setahun dan mengurangkan pengeluaran karbon sebanyak 70 peratus,” jelas beliau lagi.
SUMBER; SUARA PERAK