KANGAR | Pendedahan pembangkang didakwa menerima dana asing bagi survival politik mereka mengundang resah dan gusar yang tidak sedikit dalam kalangan rakyat negara ini.
Lapor HarakahDaily, bagi mereka mana mungkin sokongan dana oleh pihak asing diberikan tanpa tujuan tertentu.
Pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UnimAP), Dr Mohd Saifizi Saidon berkata, sudah tentu pihak asing yang menyalur dana mempunyai niat tertentu di atas tajaan mereka.
“Mana mungkin sokongan yang diberikan tanpa sebarang habuan bagi pihak penaja,” katanya ketika dihubungi di sini.
Baru-baru ini bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Left Jeneral (B) Dato’ Mohd Salleh Ismail dilapor mendakwa terdapat pemimpin politik Malaysia menerima bantuan dari pertubuhan di luar negara, terutama Amerika Syarikat bagi meneruskan karier politik mereka.
Dakwaan serupa juga didedahkan Penasihat Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Dr Kua Kia Soong yang mendesak Pakatan Harapan (PH) menjelaskan hubungan mereka dengan National Endowment for Democracy (NED).
Beliau mendakwa dana kepada blok pembangkang berlaku sejak sedekad lalu.
Dr Mohd Saifizi berkata, sepatutnya setiap pemimpin politik perlu mengambil pendekatan berkecuali dalam berpolitik tanpa dicatur oleh politik Barat atau Timur.
“Kita bimbang siri-siri penjajahan baru wujud, jika benar dakwaan terdapat parti politik yang menang dalam pilihanraya adalah dengan tajaan pihak luar.
“Kita perlu menginsafi sejarah yang berlaku sebelum ini, apabila sebuah negara menerima bantuan dari luar, boleh mengakibatkan kedaulatan negara itu terancam.
“Seperti tergadainya Singapura apabila kita terpaksa meminta bantuan Britsh untuk menghadapi Siam,” katanya.
Begitu juga menurutnya, seperti apa yang berlaku di Syria dan Yaman, di mana negara terbabit masih diancam peperangan kerana menerima bantuan luar untuk mengurus politik negara sendiri.