PUTRAJAYA | Kementerian Kesihatan (KKM) masih belum memuktamadkan keputusan untuk memberikan vaksin kepada kanak-kanak bawah usia 12 tahun.
Lapor Berita Harian, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ketika ini kajian sedang dijalankan Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal pelbagai negara termasuk Agensi Perundangan Perubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) United Kingdom (UK), Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di negara ini.
“Sebaik kita memperoleh data lengkap yang menyokong bahawa pemberian vaksin terhadap kanak-kanak adalah selamat, kita akan bawa ia kepada jawatankuasa kerja pakar vaksinasi untuk dipertimbangkan dan keputusan mengenainya dibuat,” katanya pada sidang media hari ini.
Pada masa sama, Khairy berkata, beliau dimaklumkan dalam rundingan bersama syarikat farmasuetikal Pfizer, syarikat itu berkemungkinan mengeluarkan vaksin yang dikhaskan untuk kanak-kanak.Katanya, vaksin itu akan mempunyai kadar dos berbeza dengan vaksin yang digunakan ketika ini untuk golongan dewasa.
Selain itu, Khairy berkata, KKM berharap cadangan daripada Jawatankuasa pakar mengenai vaksinasi COVID-19 penghujung bulan ini membabitkan pemberian dos penggalak.