KOTA BHARU | Seramai 1,000 daripada 5,000 banduan di empat penjara di Kelantan sudah lengkap suntikan vaksin COVID-19 dalam tempoh dua bulan ini.
Pengarah Penjara Kelantan, Mat Yaacob berkata, baki 4,000 banduan dijangka akan selesai divaksin pada September ini.
Katanya, banduan terbabit dari Penjara Pengkalan Chepa, Penjara Satelit Pasir Mas, Pusat Koreksional Machang dan Pusat Reintergrasi Penghuni Kuala Krai.
“Mereka akan mula divaksin secara berperingkat bermula bulan ini. Kita yakin usaha untuk memberi vaksin kepada semua banduan penjara akan dapat dilaksanakan dengan segera menerusi kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).
“Kita masih menunggu bekalan vaksin dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi JKNK akan terus memberi suntikan kepada banduan.
“Kita harap akan menerima bekalan vaksin secepat mungkin dalam usaha untuk mengekang COVID-19 dalam kalangan banduan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Program Japanese Rock Melon dengan kerjasama Penjara Negeri Kelantan dan Syarikat El Matta Sdn Bhd di Penjara Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan memberi keutamaan kepada golongan banduan yang berusia dan berisiko untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.