KOTA BHARU | Sebanyak 4,000 biji ‘Rock Melon’ dihasilkan oleh banduan penjara Pengkalan Chepa di sini, untuk dipasarkan di pasaran tempatan.
Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Mat Yaacob berkata, hasil tuaian itu daripada 2,044 pokok buah yang ditanam.
Katanya, tuaian pertama ini adalah hasil projek dengan kerjasama antara syarikat El Mata Sdn Bhd dan Jabatan Penjara Malaysia yang bermula Mei lalu.
“Projek ini membabitkan seramai 12 banduan dari Penjara Pengkalan Chepa dan hasil akan dipasarkan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan secara dalam talian.
“Pada masa yang sama, 60 banduan lagi menjalani latihan bagi projek fertigasi di tapak semaian iaitu 30 orang di kawasan Lojing, Gua Musang dan 30 orang lagi di Cherang Ruku dan Tok Bali di Pasir Puteh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau Projek Latihan Pertanian Fertigasi di Penjara Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Mat berkata, banduan yang terbabit dibayar upah iaitu di daerah Kota Bharu akan memperolehi sebanyak RM 1,200, manakala luar Kota Bharu akan menerima upah RM1,100 sebulan daripada majikan mereka.
Katanya, projek itu dijalankan secara tanaman fertigasi dan dikawal selia oleh syarikat berkenaan yang menggunakan tenaga kerja banduan untuk melaksanakan projek itu.
“Projek ini memberi peluang pekerjaan kepada banduan dan apabila mereka habis latihan serta keluar dari penjara, mereka boleh menceburi bidang pertanian,” katanya.