By Nor Shazleza Shahril
SUNGAI BESI | Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain telah menyempurnakan penganugerahan kepada Staf Sarjan Madzain Medol yang dinaikkan pangkat ke Pegawai Waran Dua.
Madzain adalah Drum Major Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja (PPKAD) dalam satu acara ringkas di Kem Perdana Sungai Besi.
Tentera Darat Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, penganugerahan pangkat itu adalah sebagai pengiktirafan di atas kecemerlangan dan kewibawaan beliau selaku Drum Major yang berjaya membuat persembahan yang hebat dan mendapat perhatian serta liputan pelbagai pihak.
“Pegawai Waran Dua Madzain mempamerkan kecemerlangan dalam mengetuai Persembahan Drumline Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Beliau turut memimpin Pancaragam Gabungan Badan Beruniform yang terdiri daripada gabungan lapan agensi beruniform melibatkan gabungan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-64 yang telah berlangsung di Dataran Pahlawan, Putrajaya pada 31 Ogos yang lalu.
“Penganugerahan kenaikan pangkat adalah sebagai pengiktirafan di atas kecemerlangan khidmat bakti yang ditonjolkan,”menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, persembahan Drumline ATM adalah di antara yang menjadi perhatian dimana ketika beliau memimpin persembahan, ia berjaya mencuri perhatian orang ramai.
“Persembahan unik itu turut diiringi irama drumline yang digarap dengan baik bersama elemen budaya pelbagai kaum menerusi rentak lagu-lagu etnik di Malaysia.
“Aksi beliau dapat memukau khususnya aksi semburan api atau dikenali sebagai fire dragon.
“Beliau mengetuai Persembahan Drumline ATM dan memimpin Gabungan Pancaragam Badan Uniform dengan penuh kewibawaan dan mendapat pujian daripada kepimpinan ATM serta hadirin ketika Sambutan Hari Kebangsaan Ke-64,” katanya.
Zamrose dan seluruh warga TDM mengucapkan tahniah dengan pencapaian itu dan semoga penganugerahan pangkat berkenaan dapat menjadi pemangkin dan sumber inspirasi kepada anggota TDM.