Oleh: IDIHAYS. SB
YAYASAN Pendidikan, Kebajikan dan Penyelidikan (EWRF) yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan barisan kabinet mampu membina ‘Keluarga Malaysia’ lebih kukuh, aman, bersatu padu dan maju.
Presidennya, G. Annamalai berkata, sekarang adalah masanya semua pihak tanpa mengira latar belakang fahaman politik dan kaum perlu bersama berganding bahu membina sebuah negara yang gemilang, kukuh serta stabil.
Katanya, Perdana Menteri telah menghulur tangan untuk bersama bergerak sebagai ‘Keluarga Malaysia’, maka wajar semua pihak menyambutnya dengan terbuka demi membawa kesejahteraan kepada setiap kelompok rakyat di negara ini.
“EWRF mengucapkan tahniah di atas pembentukan Kabinet baharu bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri selaku Perdana Menteri ke-9, dan juga seluruh anggota Jemaah Menteri yang telah diumumkan 27 Ogos lalu.
“Pendekatan untuk memberi nafas baharu meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan golongan pelajar dan guru-guru turut perlu ditumpukan.
“Jadi dicadangkan supaya sesi percambahan minda melibatkan semua pertubuhan berkaitan dengan pendidikan diadakan bagi berkongsi pandangan serta menyusun semula strategi memajukan sistem dan sektor pendidikan negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
EWRF sebuah pertubuhan bukan kerajaan telah beroperasi sejak tahun 1979, telah banyak berperanan di dalam membantu meningkatkan keupayaan akademik dan intektual pelajar di kawasan bandar mahupun luar bandar.
Sementara itu, Annamalai menyatakan, EWRF berhasrat dan telah bersedia untuk membina kerjasama lebih erat dengan Kerajaan pimpinan semasa khususnya dalam sektor pendidikan.
“Jalinan kerjasama bidang pendidikan sangat pentig demi kepentingan rakyat yang masih dihimpit pandemik COVID-19, yang secara langsung telah pun menjejaskan hampir semua aspek kehidupan.
“Semoga dengan terjalinnya ruang kerjasama ini, kita mampu mencari solusi terbaik untuk mengembalikan semula fokus pendidikan di landasan yang betul seiring dengan keperluan semasa para pelajar,” ujarnya.