JOHOR BAHRU | Susulan banjir, Johor membuka tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah hari ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor, Kolonel Kamal Mokhtar berkata, dua daerah terjejas itu adalah Johor Bahru dan Pontian.
Katanya, tiga PPS yang dibuka membabitkan PPS Dewan Raya Kampung Melayu Batu 10, Skudai serta PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Skudai di Johor Bahru manakala sebuah lagi iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya di Pontian.
“Jumlah mangsa banjir di dua PPS di Johor Bahru sedang dikemas kini berikutan pertambahan mangsa, manakala di Pontian membabitkan 19 mangsa daripada lima keluarga.
“Dua PPS di Johor Bahru dibuka bermula jam 10 pagi, manakala PPS di Pontian dibuka jam 11 pagi tadi.
“PPS Dewan Raya Kg Melayu Batu 10 khas untuk mangsa banjir yang perlu menjalani kuarantin berikutan menjadi kontak rapat kes COVID-19 manakala mangsa banjir yang lain ditempatkan di PPS SMK Skudai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.