TUMPAT | Kerajaan negeri Kelantan optimis akan meningkatkan pemberian vaksin kepada penduduk negeri ini berikutan akan menerima sebanyak 1.2 juta dos vaksin dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob mengucapkan terima kasih kepada KKM dan vaksin berkenaan dijangka dihantar bermula September ini.
Katanya, sehingga semalam, Kelantan merekodkan 64.3 peratus bagi satu dos vaksin dan 46. 7 peratus bagi dos kedua bagi vaksinasi dewasa.
“Kawasan berisiko banjir menjadi antara fokus utama kerajaan bagi menghadapi musim tengkujuh.
“Berdasarkan data terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri, kes COVID-19 di Kelantan mencatatkan peningkatan berikutan jangkitan varian Delta sudah berada dalam komuniti,” katanya.
Terdahulu beliau hadir di Program Outreach Vaksinasi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Laut di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan negeri optimis kadar vaksinasi negeri Kelantan terus meningkat dengan jumlah vaksin diterima mengikut jadual yang ditetapkan.
Katanya, ianya dengan kerjasama semua agensi, sukarelawan, Pusat Khidmat dewan undang negeri (DUN) dan semua pihak untuk mencapai imuniti berkelompok.