IPOH | Telekom Malaysia Berhad (TM) membuka sebuah lagi kemudahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di premis miliknya di Perak, sekaligus menjadi PPV Integrasi swasta pertama di negeri ini.
Pembukaan Kompleks TM Taiping sebagai PPV Integrasi yang beroperasi mulai pertengahan Ogos lalu adalah sebagai tanda sokongan syarikat ke arah mempercepatkan program imunisasi kebangsaan.
Ia merupakan premis ketiga milik TM yang diubah menjadi sebuah PPV dalam usaha menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) selepas PPV Mega Integrasi di Kampus MMU Cyberjaya dan PPV di Kampus MMU Melaka.
Mengulas mengenai inisiatif berkenaan, Pengurus Besar, Kawal Selia dan Keterlibatan Negeri, TM Perak Badrul Hisham Bahari berkata, pihaknya gembira apabila berpeluang untuk memberikan sokongan bagi mempercepatkan program imunisasi di Perak.
“Ini mencerminkan peranan kami dalam membantu negara untuk kembali pulih daripada pandemik melangkaui peranan kami sebagai penyedia perkhidmatan penting untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, ketika negara berada di landasan yang tepat ke arah mencapai imuniti kelompok, TM terus menyokong sepenuhnya pelan pemulihan kerajaan di samping memastikan rakyat Malaysia kekal terhubung dan terus disokong sepanjang setiap fasa pelan pemulihan ini.
Katanya, sebagai pemacu Digital Malaysia, TM akan terus menyokong semua segmen pelanggan meliputi kediaman, perniagaan, industri, serta sektor awam dengan perkhidmatan sambungan dan infrastruktur digital dan penyelesaian ke arah pemulihan ekonomi.
Beliau memberitahh, pada hari pertama beroperasi, PPV tersebut telah menerima kunjungan dari delegasi kerajaan negeri yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Akmal Kamaruddin.
Turut hadir Pegawai Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS), Mohamed Akmal Dahalan; Ketua Polis Daerah Taiping, ACP
Osman Mamat dan Pengarah Hospital Taiping, Dr Narimah Yusof,
PPV di Kompleks TM Taiping berupaya menampung pemberian vaksin sehingga 1,800 dos sehari.
SUMBER: SUARA PERAK