SHAH ALAM | Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyumbang 100 bakul makanan kepada Kelab Rekreasi Sukan dan Kebajikan Media Selangor (KERISEMAS) hari ini.
Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan merupakan kesinambungan bantuan terutama kepada golongan memerlukan dan terjejas sepanjang pandemik Covid-19.
“Ketika ini kita tidak boleh menjalankan aktiviti bersemuka atau akademik bersama orang awam jadi ini cara kita mendekati masyarakat.
“Bakul ini mengandungi makanan asas seperti beras, minyak, gula dan bihun dengan anggaran RM70 setiap satu,” katanya selepas majlis penyerahan di pejabat Media Selangor Sdn Bhd (MSSB).
Sementara itu, Pengerusi KERISEMAS Badrul Hisyam Mohamed berkata bakul makanan diagihkan mulai hari ini dan tidak hanya tertumpu kepada kakitangan MSSB sahaja.
“Kita juga serahkan kepada orang awam berpendapatan rendah (B40) selain bekas kakitangan MSSB yang terkesan wabak.
“Program ini merupakan percubaan KERISEMAS menyantuni masyarakat dan akan diteruskan pada masa hadapan, tidak tertumpu ketika penularan pandemik ini sahaja,” katanya.
SUMBER: SELANGORKINI