PUTRAJAYA | Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melantik Datuk Seri Norazlan Mohd Razali sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), yang baharu berkuat kuasa hari ini menggantikan Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil yang bersara wajib.
Dalam satu kenyataan SPRM berkata, Norazlan merupakan Pengarah Kanan Siasatan SPRM, sebelum ini serta pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi, Pengarah SPRM Selangor, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Ketua Staf Pejabat Eksekutif Ketua Pesuruhjaya SPRM, Ketua Unit Integriti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Pengarah SPRM Johor.
“Beliau berkelulusan Bachelor of Science in Business Control System, pengkhususan dalam bidang Perakaunan daripada University of North Texas, Amerika Syarikat dan Master of Science in Economic Crime Management (Kepujian) daripada HELP University, Malaysia.
“Beliau mula menyertai SPRM pada 9 Februari 1989 dan sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau berpengalaman luas serta banyak terlibat dalam pelbagai inisiatif pencegahan rasuah di dalam dan luar negara,” katanya
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Datuk Hishamuddin Hashim pula dilantik sebagai Pengarah Kanan Siasatan SPRM yang baharu berkuat kuasa pada tarikh sama manakala Ketua Unit Integriti, Kementerian Pengangkutan, Datuk Tan Kang Sai menggantikan jawatan beliau.
Dalam pada itu, SPRM telah menganjurkan Majlis Paluan Berundur sempena persaraan Shamshun di Ibu Pejabat SPRM semalam dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara.
Shamshun bersara wajib sebagai penjawat awam pada usia 60 tahun selepas berkhidmat di Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan SPRM selama 37 tahun sejak tahun 1984.
“Beliau memulakan karier di BPR/SPRM sebagai pegawai penyiasat dan telah memegang pelbagai jawatan penting sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.
“Antaranya, Ketua Cawangan Pendaftaran Rahsia, Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Pengarah Bahagian Keutuhan Pengurusan, Pengarah Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat, Pengarah Bahagian Perisikan, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat dan seterusnya dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM pada 4 Oktober 2016.
“Sehubungan itu, SPRM merakamkan ucapan terima kasih atas usaha dan sumbangan bakti beliau sepanjang dalam perkhidmatan di BPR/SPRM bagi membanteras rasuah di negara ini.
“Pengurusan Tertinggi dan seluruh warga SPRM turut mengucapkan tahniah atas pelantikan pucuk pimpinan baharu ini sekali gus menjadikan SPRM terus cemerlang,” katanya.