KUALA LUMPUR | Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima tiga laporan polis berkenaan kes Parcel Scam.
Ketua JSJK Mohd Mahidisham Ishak berkata, dalam ketiga-tiga kes, mangsa telah berkenalan dengan seorang individu melalui media sosial.
“Ketiga-tiga mangsa dalam kes tersebut merupakan ibu tunggal yang mana kenalan alam maya telah memaklumkan ada menghantar bungkusan dari luar negara.
“Mangsa kemudiannya diminta untuk membayar sejumlah wang bagi tujuan kos penghantaran bungkusan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, namun begitu, bungkusan yang dijanjikan tidak diterima oleh mangsa.
Katanya, kes terbabit melibatkan kerugian berjumlah RM 31,500.
“Kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu). Statistik menunjukkan bagi tempoh Januari sehingga 31 Ogos 2021, sebanyak (115) kertas siasatan melibatkan kerugian berjumlah RM 1,641,359.96 berkenaan penipuan Parcel Scam telah dibuka.
“Sindiket mensasarkan golongan wanita yang bekerjaya dan “kesunyian’ sebagai mangsa,” katanya.
Menurutnya, pihak Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan kenalan melalui
media sosial.
Ujarnya, jangan mudah terpedaya dengan tawaran bungkusan dan melakukan transaksi tanpa usul periksa.
“Sebarang jenayah atau pun aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 0585 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” katanya.